Sono Ato Wa Nandesuka? (dan selepas itu apa?)




Kita melalui kehidupan ini dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Cabaran dan dugaan ini pula tidak terhad kepada hanya kesusahan dan 
kepayahan. 
Tetapi termasuklah godaan dalam melakukan kejahatan dan keingkaran kepada Allah SWT.
Dan biasanya, kita gagal dalam melawan godaan ini. Tewas dengan kecantikan dan kepuasan dalam melakukannya, tersungkur dengan 
apa yang 
ditawarkan olehnya, membuatkan kita memilih untuk melakukannya.
Justeru persoalan yang sering timbul adalah bagaimana untuk melawan godaan ini?
Di sinilah saya mengajak kita menimbulkan satu soalan buat diri, apabila hati tercuit untuk melakukan sesuatu yang menyalahi 
kehendak Ilahi.
“Dan selepas itu apa?”

Kejahatan Yang Dicantikkan.
Mencuri itu kelihatan cantik, apabila dihiasi dengan ganjarannya daripada pencurian yang dikatakan lumayan.
Wang yang bertimbun, kehidupan yang senang lenang, tidak perlu bersusah payah belajar dan mencari kerja, itu semua
membuatkan ‘Mencuri’ itu menjadi indah bagi sebahagian orang.
Berbohong itu kelihatan cantik, apabila dihiasi dengan keadaannya yang ‘menipu hakikat’. Kita yang miskin pun boleh menjadi kaya bila 
berbohong, kita yang lemah pun boleh kelihatan hebat dengan berbohong, kita yang bodoh pun boleh kelihatan pandai dengan berbohong. 
Bahkan dengan berbohong, kita boleh mengakses wang yang banyak, melakukan rasuah, songlap duit dan sebagainya. 
Dengan berbohong juga kita mungkin boleh melarikan diri daripada hukuman.
Berzina, bercouple, dan sebagainya, akan kelihatan cantik, apabila dihiasi dengan keadaannya yang memuaskan semarak nafsu yang 
menyala di dalam hati. Akan kelihatan amat indah dengan segala ‘kata cinta’ dan ‘kemanisan’ hubungan antara lelaki dan perempuan.
 Berzina, kononnya merupakan pembuktian cinta yang sebenar kerana sanggup menggadaikan diri.
Tidak mahu solat, tidak mahu puasa, tidak mahu menunaikan zakat, semuanya akan kelihatan cantik apabila dihiasi dengan keadaannya 
yang ‘melepaskan kita dari segala tugas dan tanggungjawab’, yang memberikan kita masa yang ‘lapang’ dan tidak ‘menyibukkan’ kita.
Ya, kelihatan indah.
Dan siapakah yang membawa kita melihat semua ini indah?
“Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, 
dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari 
jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk,” Surah An-Naml ayat 24.
Itulah dia syaitan yang telah menghiasi semua kemungkaran itu dengan keindahan, agar kita tertarik untuk melakukannya.

Dan kecantikan itu hanya sebentar, dan kemudian…?
Tetapi kita akan tersedar bahawa segala kecantikan yang dimomokkan oleh syaitan tadi itu, hanya bersifat sementara. 
Ya, tidak dinafikan akan datang segala yang kita katakan ‘kepuasan’, ‘senang lenang’, tidak ‘menyibukkan’, dan sebagainya tadi. 
Tetapi semua itu akan berlalu pergi, dan konsikuensi daripada perbuatan itu akan memburu kita.
“Dan selepas itu apa?”
Ya, dan selepas kita lakukan semua itu, merasai kepuasan yang sangat sementara itu, selepas itu apa?
Selepas mencuri, dapat wang, belanja wang, dan selepas itu apa?
Selepas berbohong, kelihatan hebat, atau dapat songlap duit dan sebagainya, dan selepas itu apa?
Selepas berzina, selepas couple pegang-pegang tangan, duduk dua-duaan, rasa puas, rasa sempurna sudah cinta kita, dan selepas itu apa?
Selepas berlalunya waktu solat yang kita tinggalkan, selepas berlalunya Ramadhan yang tidak kita laksanakan, selepas tamatnya waktu 
membayar zakat yang kita tidak lakukan, kita rasa senang hati, lapang masa, tidak sibuk, boleh buat benda lain, tetapi selepas itu apa?
Ya. Tidakkah kita melihat, kehidupan tidak berakhir selepas itu?
Kehidupan masih berjalan. Kita bukan terus masuk ke dalam ‘syurga’ selepas segala perbuatan itu. Kita masih perlu hidup. 
Dan kita hidup dengan diburu konsikuensi perbuatan-perbuatan kita tadi.
Pencuri akan sentiasa ketakutan, gelisah, kalau-kalau perbuatannya ditemui dan diketahui.
Pembohong akan sentiasa tertekan, kerana tahu dia tidak hidup di dalam realiti, dan risau sekiranya pembohongannya terbongkar
mendedahkan dirinya yang hakiki.
Penzina akan diburu kekotoran, dia telah me’labur’kan teruna dan daranya hanya untuk momen yang sebentar, dan tidak pula 
berkekalan dalam suasana yang bersih. Apatah lagi sekiranya daripada penzinaan itu Allah berikan anak. Ada yang sibuk hendak 
menggugurkan kandungan, bergaduh pasangan yang dikatakan sebelum ini bercinta, perempuan menjadi mangsa, lelaki lari dari 
diburu tanggungjawab, dan sebagainya.
Mereka yang bercouple, sibuk melanggar perintah Allah SWT, dan kemudiannya oleh kerana dasar cinta yang tidak jelas, roboh hubungan itu. 
Akhirnya sedar telah banyak wang dilaburkan, telah banyak masa dihabiskan, untuk sesuatu yang bukan sahaja tidak memberikan makna, 
bahkan menambah dosa di dalam kantung amalannya.
Dan peninggal-peninggal perintah Allah SWT, diburu dosa yang bertimbun hasil peninggalan tanggungjawab yang mereka lakukan.
Adakah ini keindahan?

Realistik
Masyarakat sering mengejek bahawa ‘Pengejar Syurga’ itu tidak realistik. Kerana dikatakan bahawa mereka yang mengejar 
syurga itu mengejar sesuatu yang tidak kelihatan, dan tidak pula pasti.
Tetapi bila dilihat semula, ‘pengejar-pengejar syurga’ hidup dalam keadaan tenteram, bersih, lapang dada, dan bahagia. 
Walau ada antara mereka yang dilambung badai dugaan dan cabaran kehidupan, mereka tetap meneruskan kehidupan tanpa tertekan. 
Kerana mereka memahami bahawa kehidupan ini adalah medan ujian. Yang perlu mereka lalui dengan bersungguh-sungguh.
Berbanding mereka yang ‘mempercepatkan’ kepuasan, keindahan, kesenangan dengan cara yang tidak betul, yang pada akhirnya diri 
mereka diburu dengan palitan perbuatan mereka, hidup tidak tenteram, gelisah dan resah, luar nampak hebat tetapi dalaman
hakikatnya gersang, 
maka apakah maknanya?
Maka yang realistik adalah ‘pengejar-pengejar syurga’. Walaupun memang syurga itu tidak kelihatan, dan memang tidak dapat dibuktikan, 
tetapi sekurang-kurangnya mereka hidup di atas dunia dalam keadaan aman dan tenteram, tenang dan kuat.
Persoalannya, siapakah yang menyedari akan hal ini, untuk menjadikannya satu ‘kekuatan’ melawan godaan syaitan untuk kita melakukan 
kemungkaran?

Penutup: Sentiasa tanya pada diri.
“Dan selepas itu apa?”
Ya, tanya pada diri. Sentiasa tanya pada diri, sebelum melakukan sesuatu yang memang kita tahu Allah larang. Tidak mahu tutup aurat, 
tidak mahu solat, hendak bercouple, berzina, mencuri, berbohong, melancap dan sebagainya, sentiasa tanya kepada diri: 
“Dan selepas itu apa?”
Hatta kehidupan di dunia pun selepas itu tidak mampu dilalui dengan tenang, apatah lagi dengan ‘selepas itu yang lebih jauh’, 
yakni kehidupan akhirat?
“Patutkah ia bersikap demikian?) Tidakkah ia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? 
Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan 
mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka – pada hari itu(Hari Akhirat).” Surah Al-‘Adiyyat ayat 9-11.
Mari sama-sama kita muhasabah diri kita kembali.
Sesungguhnya ini adalah motivasi daripada Ilahi, yang sering mengajak hamba-hambaNya agar kembali melihat diri. 
Semuanya untuk kebaikan Hamba, tanda sayang Ilahi kepada kita. Allahuakbar.