Sunday, December 12, 2010

Ketenangan Yg Sejati

 Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.
Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.
  • Dimensi kata, rasa dan tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya. Firman Allah:“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”At Tahrim 8Firman Allah lagi:“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” al baqarah 222.
Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kina? Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.
Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!
Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:
  • Rasa kehambaan.
  • Rasa bertuhan.
  • Memahami maksud takdir.
  • Mendapat hikmah di sebalik ujian.
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
  • Rasa kehambaan.
Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah:“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” At Taubah: 51
Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.
Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.
Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” Al baqarah 156
Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.
  • Rasa bertuhan.
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah:“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” Al Baqarah.
Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.
Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.
  • Memahami maksud takdir Allah.
Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.
Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.
Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya”Surah Al Baqarah : 216Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, “barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”
Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.
Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.
Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”
Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!”
  • Mendapat hikmah bila diuji.
Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Ra¬sul¬ullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkas¬nya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.Firman Allah: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”(Surah al-Baqarah: 214)Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu peng¬ampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri!

Monday, December 6, 2010

Ingatlah Mati


 “Saya risau kalau semua orang ingat mati, produktiviti syarikat ini akan menurun,” kata pegawai tinggi sebuah organisasi. Dia begitu sinis sekali dengan ceramah-ceramah yang menyentuh soal mati.“Kenapa tuan beranggapan begitu?” tanya saya.
“Bila ingat mati, masing-masing fikir diri sendiri sahaja. Mereka akan asyik solat dan zikir wirid sahaja. Mereka akan tinggalkan kerja. Saya tak setuju langsung ceramah tentang mati ni dibuat dalam organisasi ini. Sorry, saya tak setuju!” katanya berterus-terang.
“Saya rasa tidak begitu. Bila semua ingat mati, makin meningkatkan kualiti dan produktiviti syarikat ini,” kata saya.“ Kenapa pula?” Kali ini dia pula yang bertanya.“Orang yang ingat mati sedar dia akan menemui Allah,” jawab saya pendek.“Apa kaitan hal itu dengan produktiviti?”
“Kalau kita sedar kita akan bertemu Allah kita akan memperelok dan memperbanyakkan ibadah.”“Itu yang saya kata tadi… bila asyik beribadah kita akan lupa dan lalai bekerja. Habislah syarikat ini.”
Saya tersenyum. Dalam hati tertanya-tanya apakah dia belum faham konsep ibadah yang sebenar atau ada masalah lain yang “bermain” di mindanya.“Tuan, ingin saya ingatkan konsep ibadah itu luas. Ibadah bukan sahaja solat, zikir dan wirid. Kerja juga satu ibadah.”Dia merenung saya. Saya bersikap biasa-biasa sahaja.“Maksud awak saya tak faham konsep ibadah?” tusuknya tiba-tiba.“Saya Cuma mengingatkan. Ibadah itu terbahagi tiga – ibadah asas, ibadah sunat dan ibadah khusus. Ibadah asas itu, solat, puasa, zakat dan lain-lain rukun Islam. Ibadah sunat itu banyak antaranya zikir, wirid, baca Quran, solat dan puasa sunat.”
“Itu saya tahu,” getusnya.“Manakala ibadah umum pula adalah seluruh aktiviti hidup kita selain ibadah asas dan ibadah sunat tadi. Termasuklah kita bekerja, berniaga, berhibur, bermesyuarat dan lain-lain.”Tanpa mempedulikan reaksinya saya terus memberi penerangan.
“Tu yang saya kata tadi. Nanti semua tumpu pada ibadah asas, ibadah umum terpinggir. Pekerja kita ni bukan faham sangat konsep ibadah yang berbelit-belit ni.”“Kitalah yang mesti memahamkan mereka. Ceramah tentang mati ini perlu dibuat selepas ceramah tentang visi dan misi hidup, konsep ibadah, habluminallah, habluminannas,” pujuk saya.
“Saya tak yakin mereka boleh difahamkan. Orang Melayu kita ni bila ingat mati gementar, takut, kecut… saya tak mahu menakut-nakutkan mereka. Kita nak kualiti, kita nak produktiviti. Ingat mati ni soal peribadi, bukan soal organisasi. Dalam organisasi kita bercakap soal keuntungan.”“Tuan, Islam menganjurkan agar kita ingat mati, bukan takut mati. Yang tuan bimbangkan tu takut mati, bukan ingat mati.”
“ Apa bezanya?” tanyanya. Suaranya mula meninggi.Saya diam sejenak. Berfikir untuk mengolah kata-kata yang baik. Mengadun antara kebenaran dan kelembutan
“Saya teringat maksud sebuah hadis…” kata saya memulakan penjelasan.“Awak jangan berselindung di sebalik hadis!”“Bukan berselindung tuan, tetapi pada siapa lagi yang patut kita sandarkan segala hujah dan pandangan melainkan kepada Rasulullah?” jelas saya perlahan.“Apa maksud hadis tu? Direct to the point!”
“Orang yang ingat mati akan menyegerakan taubat, meningkatkan ibadah dan tenang dalam hidup. Itu maksud hadis. Sama ada ibadah asas, sunat dan umumnya. Tapi orang yang takut mati, akan hilang semangat untuk hidup. Takut mati menyebabkan mereka juga takut hidup. Hilang daya dan tenaga untuk berusaha.”
“Saya masih bimbang mereka akan takut mati bukan ingat mati.”Perlahan-lahan saya menggeleng-gelengkan kepala. Sekarang saya mula berfikir, ini masalah dia atau masalah pekerjanya.“Tuan jangan lupa satu golongan lagi. Mereka tu ingat mati pun tidak, takut mati pun tidak…”“Ada lagi?”“Ya, satu golongan lagi adalah mereka yang lupa mati. Golongan ini akan menangguhkan taubat, meremehkan ibadah dan jiwanya sentiasa kacau. Mereka ini sangat benci bila diperingatkan tentang mati kerana itu mengganggu keseronokan mereka melakukan maksiat dan dosa,” ujar saya lagi. Kebenaran itu memang pahit, walau betapa indahnya bahasa kita mengucapkannya.
“Saya masih khuatir mereka akan berkurung di surau, asyik solat, solat duha, doa berjam-jam lamanya. Kerja tertangguh.”Terkedu saya. Satu kebimbangan yang tidak berasas.“Kita perlu terangkan kepentingan ibadah umum. Ibadah umum yang kebanyakannya dikategorikan dalam fardu kifayah. Fardu kifayah kedudukannya lebih tinggi daripada ibadah sunat.”“Maaflah, awak masih berfalsafah. Kita mesti realistik. Syarikat ini sedang mengalami masalah. Produktiviti dan kualiti menurun secara drastik.”“Mengapa? Apa sebabnya?”
“Culas, curi tulang, pembaziran, rasuah…”“Tuan, itu semua sikap orang yang lupakan mati,” jolok saya pula.“Lagi-lagi mati. Kita bercakap tentang hidup sekarang!”“Bercakap tentang mati akan menyebabkan kita jelas tentang hidup. Persediaan menghadapi mati dibuat semasa hidup. Keadaan hidup selepas mati sangat berkait dengan keadaan hidup sebelum mati!”“Saya tambah tak faham dengan awak.”
“Maksud saya orang yang curi tulang, culas dan rasuah itu tidak takut dengan dosa. Mereka hanya takut dengan undang-undang dunia. Kalau mereka nampak undang-undang dunia ada kelemahan, kurang penguatkuasaan, maka di situlah mereka ambil kesempatan.”
“Apa kaitan itu dengan mati?”Lucu. Kali ini dia pula yang mengingatkan saya tentang mati.“Kalau mereka ingat mati, mereka ingat hari pertemuan dengan Allah di hari akhirat. Di sana segala dosa yang disembunyikan dari manusia dan yang terlepas dari undang-undang dunia akan dipaparkan dengan nyata. Bukan dipaparkan sahaja, bahkan akan beri hukuman dengan api neraka.”Dia mula diam.“Di sana nanti Allah akan tanyakan segala-galanya. Tentang solat, tentang kerja, tentang keluarga. Jika semua beres, baiklah keadaan hidup kita di sana. Itu yang saya katakan tadi, keadaan hidup selepas mati sangat ditentukan oleh corak kehidupan kita sebelum mati.”“Maksud awak keadaan hidup di dunia kita sangat menentukan keadaan hidup di akhirat?”“Ya, begitulah tuan. Orang yang ingat mati, akan melaksanakan amanah dan tanggung jawabnya dengan baik dalam famili, organisasi dan masyarakat.”
“Saya takut orang yang ingat mati asyik solat sahaja!”“Asyik solat? Apa salahnya dengan solat?”“Kalau asyik solat sahaja mana sempat buat kerja?”Saya macam nak tergelak. Macamlah ramai sangat orang yang solat sampai tak sempat buat kerja. Realitinya, ramai yang bekerja sampai tak sempat solat. Dan lebih ramai orang yang tak sempat buat kedua-dua. Solat tidak, kerja pun tidak. Lalai, leka dan terbuai dengan hiburan semata-mata. Ramai yang curi masa di pejabat kerana leka dengan kerja-kerja luar, buat “direct selling”, “game”, “chatting”, “face book” dan segala macam.
“Saya rasa orang yang solatlah yang paling jujur dan amanah dalam kerja.”“Mana boleh macam tu…”“Ini Al Quran kata. Solat itu mencegah dari fahsya’ dan mungkar. Termasuklah mungkar dalam pekerjaan seperti culas, membazir, rasuah, curi tulang dan lain-lain.”“Saya pernah jumpa orang yang banyak solat tapi rasuah, curi tulang…”“Tentu ada salah di mana-mana dengan solatnya. Kalau solat tak mencegah kemungkaran, solat itu bukan solat. Ini hadis.”“Maksud awak?”“Mungkin solat kerana riyak. Mungkin jahil dengan ilmu solat. Atau tidak mujahadah hingga solatnya dikategorikan sebagai solat orang yang lalai. Khusyuk jauh sekali!”“Jalan penyelesaian?”“Perlu diberi ilmu, dididik dan dilatih dengan program solat yang sebenar!”“Ke situ balik… saya bercakap tentang produktiviti dan kualiti kerja, awak bercakap dengan kualiti solat… Pelik!”
Saya tersenyum. Inilah realiti kefahaman majoriti umat Islam. Amalan Islam dilihat secara terpisah-pisah. Padahal semua amalan Islam itu bersepadu. Yang satu mempengaruhi yang lain. Solat ada impaknya kepada pekerjaan. Membetulkan solat boleh membetulkan pekerjaan. Soal ketepatan waktu, pengurusan masa, amanah, fokus, kebersihan, keikhlasan yang menjadi teras dalam solat seharusnya melimpah kesannya bila kita bekerja.“Kalau begitu kita perlukan program latihan yang menyentuh soal mati ke, solat ke atau produktiviti? Saya makin keliru sekarang…” kata pegawai tinggi tersebut.“Ketiga-tiganya sekali. Kita perlu program latihan yang bersepadu. Hingga dengan itu pekerja yang ingat mati akan serius dengan solat dan seterus akan meningkatkan produktiviti dan kualiti pekerjaannya!” jawab saya.
Dia tersentak. Saya semakin yakin, sebelum orang bawahannya menjalani program latihan yang dibincangkan itu… dialah orang yang perlu menjalaninya terlebih dahulu. Ketua yang keliru, akan mengelirukan anak buahnya!

Sunday, December 5, 2010

Sama Dengan PengalamanKu

“Mengapa orang Islam banyak buang masa untuk bersembahyang?” Anda terkejut? Sudah tentu. Ini adalah soalan yang jarang kita dengar. Soalan ini ditanyakan pada saya lebih kurang 15 tahun yang lalu ketika berada di Jepun. Ia diajukan oleh pelajar-pelajar Jepun yang melihat pelajar-pelajar Malaysia solat lima waktu sehari semalam.
Sebelum menjawab soalan ini, saya menyoal kembali pelajar-pelajar Malaysia yang hadir dalam majlis usrah itu:“Mengapa soalan seumpama ini ditanyakan ketika kamu di sini, tidak di Malaysia?”Seorang pelajar menjawab, “kerana mereka jarang melihat orang solat.”Yang lain menjawab, “mereka menyembah berhala mereka sekali-skala. Tidak sekerap dan selama kita umat Islam.”
Saya senyum. Pelajar-pelajar itu berminat sungguh untuk mendalami Islam. Mereka mendekati Islam lebih serius berbanding ketika mereka di Malaysia dahulu. Ketika di perantauan, ramai yang kembali gigih menghayati agama sebagai perisai diri daripada kejutan budaya dan godaan persekitaran yang terlalu mencabar.“Ada sebab lain?” tanya saya sekadar mengundang reaksi. Mereka diam. Mungkin terus berfikir.
“Orang Jepun sangat menghargai masa. Pengurusan masa mereka sangat efisien. Majoritinya tidak membuang masa…” kata saya meluahkan hasil pemerhatian secara rambang. Memang, ketika di dalam kereta api kebanyakan mereka membaca. Buku-buku dan komik banyak tersusun di bahagian atas syiling kereta api.
“Jadi bagi orang Jepun yang tidak membuang masa, 5 ke 10 minit yang kita luangkan untuk mengerjakan satu waktu solat dirasakan telah membuang masa. Sebab itu mereka bertanya, mengapa kita membuang masa. Sebab itu soalan itu timbulnya di kalangan orang Jepun. Kenapa tidak di kalangan orang kita di Malaysia? ”
“Sebab orang kita masih ramai yang membuang masa,” jawab seorang pelajar secara spontan.Saya senyum, sambil mengangguk kepala. Bagi orang yang banyak membuang masa, apalah ertinya 5 atau 10 minit untuk solat. Bagi mereka yang suka melepak, berbual kosong, berlegar-legar di pusat membeli-belah sampai berjam-jam apalah harga masa yang sebanyak itu. Tidak jadi kudis. Namun tidak bagi orang Jepun, masa beberapa minit untuk aktiviti yang tidak penting (termasuk solat – pada pandangan mereka) sangat membazir masa.
“Apa yang saudara jawab?” tanya saya menduga. Gembira melihat mereka tercabar begitu. Kekadang kecintaan dan kefahaman kita terhadap Islam hanya timbul dengan adanya cabaran dan perlecehan.“Susah nak jawab sebab Allah perintahkan kita. Mana mereka boleh terima jawapan yang begitu.”“Perlu dijawab begitu. Sebab Allah, Tuhan kami perintahkan begitu.”
“ Tapi kalau ditanya lagi apa sebabnya Tuhan kamu perintahkan begitu?”“Jawablah, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya daripada hamba itu sendiri,” jawab saya.“Mungkin mereka terima jawapan dari perspektif kita. Tapi bagaimana kalau kita nak jawab yang logik dan rasional mengikut perspektif mereka?” tanya seorang penuntut tahun akhir kejuruteraan elektrik (seingat saya).Bagus soalan itu. Saya memang menantikan respons yang lebih kritikal dan berani.
“Tanyakan mereka, apa yang kamu buat untuk memastikan alat-alat teknologi kamu dalam keadaan yang baik? Bukankah kamu sentiasa menyelenggarakannya? Lebih canggih alat teknologi kamu, maka semakin kerap kamu menyelenggarakannya. Kamu sentiasa buat “maintanance” kapal terbang, kereta api elektrik (“bullet train”) dan kereta kamu…” terang saya.
Pelajar-pelajar yang berjumlah 20 orang itu tidak berganjak. Hawa musim dingin kota Ibaraki itu sekali-sekala mencuri masuk melalui regangan tingkap yang terbuka. Nyaman.“Kemudian tanyakan mereka siapa yang lebih canggih, alat-alat atau jentera teknologi yang dicipta itukah atau pun manusia yang menciptanya?”“Tentulah manusia,” jawab mereka hampir serentak.“Nah, kalau begitu tanyakan mereka, kalau kamu sering malah sentiasa selenggarakan alat-alat teknologi yang canggih, mengapa kamu tidak selenggarakan diri kamu yang lebih canggih?
“Mereka akan tanya, bagaimana nak selenggarakan diri kami?”“Itu kami tidak pasti. Tetapi bagi kami orang Islam, solat adalah cara kami “maintenance” diri kami. Malang sekali kalau kamu hanya menyelenggarakan alat-alat teknologi kamu tetapi kamu lupa menyelenggarakan diri kamu sendiri.”“Kalau mereka bertanya apakah yang dimaksudkan dengan menyelenggarakan diri pada seorang manusia?”
“Seorang itu dikatakan menyelenggarakan dirinya jika ia membersihkan hati, menstabilkan emosi dan menenangkan fikirannya. Inilah yang berlaku dalam solat yang sempurna. Seorang itu mengadu, merayu, merintih dan menyerahkan kembali segala kegalauan, keresahan dan keserabutan jiwanya kepada zat yang mampu dan mahu menyelesaikan segala-galanya. Siapa lagi kalau bukan kepada Allah!”
“Orang yang solat tidak akan sakit jiwa. Stres dan tekanan emosinya terkawal,” sampuk seorang pelajar di barisan belakang.“Sebab itu orang Islam tidak bunuh diri walau bagaimana besar sekali pun masalah yang mereka hadapi,” tambah yang lain.“Tidak seperti orang Jepun, kadar membunuh diri di kalangan mereka tinggi!”“Dan ketika itulah mereka mungkin boleh disedarkan betapa solat yang beberapa minit itu bukan sahaja tidak membuang masa bahkan sangat penting sekali dalam kehidupan seorang manusia,” ujar saya sebagai satu kesimpulan.


SOLAT ITU SOAL PERIBADI?
Itu kisah orang Jepun yang bukan Islam. Sekarang mari kita ikuti kisah orang Islam sendiri dengan solat.“Maaf, solat ini soal peribadi. Siapa yang nak buat sila, dah ada surau pun dalam bangunan ini. Siapa yang tak mahu, tak boleh paksa. Itu hal masing-masing.”“Ya, solat tidak boleh dipaksa. Tetapi kita sebagai saudara seIslam, wajib mengingatkan. Dan saya ingin mengingatkan saudara, solat bukan soal peribadi,” tekan saya.
“Mengapa?”“Solat itu mencegah seseorang dari kejahatan dan kemungkaran.”
“Itu saya tahu. Solat boleh mencegah kemungkaran. Saya pun selalu juga dengar kuliah-kuliah Subuh. Tapi ini dalam syarikat, kita tak perlu mengulang input-input dalam kuliah Subuh tu. Di sini kita bekerja, kita berniaga…”“Tuan, masa kita berniaga dan bekerjalah selalunya godaan dan cabaran datang. Banyak kemungkaran dalam berniaga dan bekerja,” tusuk saya perlahan.
“Kemungkaran dalam kerja? Apa tua?”“Ponteng, curi tulang, rasuah, melawan atasan, menindas bawahan, umpat, adu domba dan sebagainya. Kemungkaran ini bukan soal peribadi. Jika seorang melakukannya, ia memudaratkan yang lain. Lama-kelamaan ia berjangkit menjadi budaya yang negatif dalam syarikat. Ini akan menjejaskan operasi dan perjalanan syarikat secara keseluruhan.”
“Kita sudah ada undang-undang dan disiplin organisasi. Itu sebagai kawalan untuk anggota kita tidak melakukan penyelewengan.”“Undang-undang mencegah kemungkaran dari luar tetapi solat mencegah kemungkaran dari dalam. Kita perlukan kedua-dua pendekatan. Bahkan dalam apa jua keadaan pencegahan dari dalam itu yang lebih berkesan.”
“Kenapa?” tanyanya sepatah-sepatah. Pengurus bahagian sumber manusia itu masih tidak yakin betapa pentingnya kursus pemantapan solat dilaksanakan dalam organisasi itu. Sejak dari tadi saya terkial-kial untuk meyakinkan orang Islam sendiri tentang kaedah Islam mencegah penyelewengan dan salah laku dalam syarikatnya.“Sebab solat akan membina rasa takut, cinta dan patuh kepada Allah. Orang yang begini akan meninggalkan kejahatan dengan kerelaan hati sendiri. Ataupun jika mereka tersalah, mereka akan segera bertaubat.”
“Ah, apa pula pihak atasan kata nanti. Kita anjurkan kursus solat pula, sedangkan selama ini kita giat menjalan kursus-kursus yang memberi kemahiran profesional kepada anggota-anggota kita,” katanya berterus-terang.“Orang atasan tidak mahukah melihat orang-orang bawahan dan seluruh kakitangan syarikat ini jadi baik? Solat sangat penting untuk membentuk manusia jadi baik.”
Dia merenung muka saya lalu berkata,”tetapi kalau baik sahaja tetapi tak tahu bekerja, buat apa?”“Dan kalau tahu buat kerja sahaja tetapi tidak jujur, buat apa?” balas saya.
Setelah melihat dia diam, saya menambah, “sebenarnya kita perlu kedua-keduanya sekali. Pemantapan solat pun perlu, peningkatan kemahiran profesional pun perlu. Alangkah baiknya jika kedua-duanya dilaksanakan secara bersepadu dalam syarikat ini. Kita tidak ada masalah, bukankah seluruh kakitangan syarikat ini beragama Islam?”“Kos… kos dan peruntukan latihan akan bertambah,” balasnya.
Kali ini saya pula terdiam.“Tuan, untuk program latihan kemahiran kita rela berbelanja besar. Mengapa untuk program pemantapan nilai-nilai Islam ini kita terlalu berkira?”“Itu soal pihak atasan…” kilasnya.
“Tuan, di atas pihak atasan ini ada yang lebih atas lagi. Allah akan bertanya kepada kita, apa yang kita laksanakan untuk mendidik orang bawahan kita. Syarikat hakikatnya sebuah institusi. Kita akan ditanya oleh Allah tentang orang di bawah pimpinan kita. Bukan soal makan-minum dan kebajikan lahiriah mereka sahaja, tetapi juga soal iman dan Islam mereka.”
“Baik tu baik. Tetapi…”“Tuan, jika syarikat terlalu berkira dalam soal-soal tarbiah begini, saya khuatir penyelewengan, rasuah, curi tulang dan lain-lain sikap negatif yang tuan katakan mula merebak dalam syarikat ini akan bertambah kronik. Pembaziran dan penyelewengan akan memporak-perandakan operasi. Produktiviti dan kualiti akan menurun. Penjualan juga akan merosot. Pembaziran berleluasa. Rasuah pula akan menyebabkan ketirisan wang yang bukan sedikit! Ini menelan kos yang lebih berbanding kos pendidikan,” pujuk saya.
Dia termenung. Sambil menepuk-nepuk tangannya ke meja dia berkata, “insya-Allah, nantilah akan saya fikirkan dulu.”Saya menarik nafas. Begitulah cabaran dalam berdakwah. Setelah berhujah, kita perlu pasrah menyerah kepada Allah, pohon taufik dan hidayah-Nya. Apa pun benarlah seperti yang selalu diungkapkan, Islam adalah agama yang paling banyak disalah tafsirkan, bukan sahaja oleh orang bukan Islam…. tetapi oleh orang Islam sendiri.
Di Jepun, di Malaysia atau di mana sahaja, Islam sering disalah tafsirkan. Namun jangan pesimis atau kecewa. Itu bermakna peluang dan ruang untuk dakwah sentiasa terbuka!