“Saya risau kalau semua orang ingat mati, produktiviti syarikat ini akan menurun,” kata pegawai tinggi sebuah organisasi. Dia begitu sinis sekali dengan ceramah-ceramah yang menyentuh soal mati.“Kenapa tuan beranggapan begitu?” tanya saya.
“Bila ingat mati, masing-masing fikir diri sendiri sahaja. Mereka akan asyik solat dan zikir wirid sahaja. Mereka akan tinggalkan kerja. Saya tak setuju langsung ceramah tentang mati ni dibuat dalam organisasi ini. Sorry, saya tak setuju!” katanya berterus-terang.
“Saya rasa tidak begitu. Bila semua ingat mati, makin meningkatkan kualiti dan produktiviti syarikat ini,” kata saya.“ Kenapa pula?” Kali ini dia pula yang bertanya.“Orang yang ingat mati sedar dia akan menemui Allah,” jawab saya pendek.“Apa kaitan hal itu dengan produktiviti?”
“Kalau kita sedar kita akan bertemu Allah kita akan memperelok dan memperbanyakkan ibadah.”“Itu yang saya kata tadi… bila asyik beribadah kita akan lupa dan lalai bekerja. Habislah syarikat ini.”Saya tersenyum. Dalam hati tertanya-tanya apakah dia belum faham konsep ibadah yang sebenar atau ada masalah lain yang “bermain” di mindanya.“Tuan, ingin saya ingatkan konsep ibadah itu luas. Ibadah bukan sahaja solat, zikir dan wirid. Kerja juga satu ibadah.”Dia merenung saya. Saya bersikap biasa-biasa sahaja.“Maksud awak saya tak faham konsep ibadah?” tusuknya tiba-tiba.“Saya Cuma mengingatkan. Ibadah itu terbahagi tiga – ibadah asas, ibadah sunat dan ibadah khusus. Ibadah asas itu, solat, puasa, zakat dan lain-lain rukun Islam. Ibadah sunat itu banyak antaranya zikir, wirid, baca Quran, solat dan puasa sunat.”
“Itu saya tahu,” getusnya.“Manakala ibadah umum pula adalah seluruh aktiviti hidup kita selain ibadah asas dan ibadah sunat tadi. Termasuklah kita bekerja, berniaga, berhibur, bermesyuarat dan lain-lain.”Tanpa mempedulikan reaksinya saya terus memberi penerangan.
“Tu yang saya kata tadi. Nanti semua tumpu pada ibadah asas, ibadah umum terpinggir. Pekerja kita ni bukan faham sangat konsep ibadah yang berbelit-belit ni.”“Kitalah yang mesti memahamkan mereka. Ceramah tentang mati ini perlu dibuat selepas ceramah tentang visi dan misi hidup, konsep ibadah, habluminallah, habluminannas,” pujuk saya.
“Saya tak yakin mereka boleh difahamkan. Orang Melayu kita ni bila ingat mati gementar, takut, kecut… saya tak mahu menakut-nakutkan mereka. Kita nak kualiti, kita nak produktiviti. Ingat mati ni soal peribadi, bukan soal organisasi. Dalam organisasi kita bercakap soal keuntungan.”“Tuan, Islam menganjurkan agar kita ingat mati, bukan takut mati. Yang tuan bimbangkan tu takut mati, bukan ingat mati.”
“ Apa bezanya?” tanyanya. Suaranya mula meninggi.Saya diam sejenak. Berfikir untuk mengolah kata-kata yang baik. Mengadun antara kebenaran dan kelembutan
“Saya teringat maksud sebuah hadis…” kata saya memulakan penjelasan.“Awak jangan berselindung di sebalik hadis!”“Bukan berselindung tuan, tetapi pada siapa lagi yang patut kita sandarkan segala hujah dan pandangan melainkan kepada Rasulullah?” jelas saya perlahan.“Apa maksud hadis tu? Direct to the point!”
“Orang yang ingat mati akan menyegerakan taubat, meningkatkan ibadah dan tenang dalam hidup. Itu maksud hadis. Sama ada ibadah asas, sunat dan umumnya. Tapi orang yang takut mati, akan hilang semangat untuk hidup. Takut mati menyebabkan mereka juga takut hidup. Hilang daya dan tenaga untuk berusaha.”
“Saya masih bimbang mereka akan takut mati bukan ingat mati.”Perlahan-lahan saya menggeleng-gelengkan kepala. Sekarang saya mula berfikir, ini masalah dia atau masalah pekerjanya.“Tuan jangan lupa satu golongan lagi. Mereka tu ingat mati pun tidak, takut mati pun tidak…”“Ada lagi?”“Ya, satu golongan lagi adalah mereka yang lupa mati. Golongan ini akan menangguhkan taubat, meremehkan ibadah dan jiwanya sentiasa kacau. Mereka ini sangat benci bila diperingatkan tentang mati kerana itu mengganggu keseronokan mereka melakukan maksiat dan dosa,” ujar saya lagi. Kebenaran itu memang pahit, walau betapa indahnya bahasa kita mengucapkannya.
“Saya masih khuatir mereka akan berkurung di surau, asyik solat, solat duha, doa berjam-jam lamanya. Kerja tertangguh.”Terkedu saya. Satu kebimbangan yang tidak berasas.“Kita perlu terangkan kepentingan ibadah umum. Ibadah umum yang kebanyakannya dikategorikan dalam fardu kifayah. Fardu kifayah kedudukannya lebih tinggi daripada ibadah sunat.”“Maaflah, awak masih berfalsafah. Kita mesti realistik. Syarikat ini sedang mengalami masalah. Produktiviti dan kualiti menurun secara drastik.”“Mengapa? Apa sebabnya?”
“Culas, curi tulang, pembaziran, rasuah…”“Tuan, itu semua sikap orang yang lupakan mati,” jolok saya pula.“Lagi-lagi mati. Kita bercakap tentang hidup sekarang!”“Bercakap tentang mati akan menyebabkan kita jelas tentang hidup. Persediaan menghadapi mati dibuat semasa hidup. Keadaan hidup selepas mati sangat berkait dengan keadaan hidup sebelum mati!”“Saya tambah tak faham dengan awak.”“Maksud saya orang yang curi tulang, culas dan rasuah itu tidak takut dengan dosa. Mereka hanya takut dengan undang-undang dunia. Kalau mereka nampak undang-undang dunia ada kelemahan, kurang penguatkuasaan, maka di situlah mereka ambil kesempatan.”
“Apa kaitan itu dengan mati?”Lucu. Kali ini dia pula yang mengingatkan saya tentang mati.“Kalau mereka ingat mati, mereka ingat hari pertemuan dengan Allah di hari akhirat. Di sana segala dosa yang disembunyikan dari manusia dan yang terlepas dari undang-undang dunia akan dipaparkan dengan nyata. Bukan dipaparkan sahaja, bahkan akan beri hukuman dengan api neraka.”Dia mula diam.“Di sana nanti Allah akan tanyakan segala-galanya. Tentang solat, tentang kerja, tentang keluarga. Jika semua beres, baiklah keadaan hidup kita di sana. Itu yang saya katakan tadi, keadaan hidup selepas mati sangat ditentukan oleh corak kehidupan kita sebelum mati.”“Maksud awak keadaan hidup di dunia kita sangat menentukan keadaan hidup di akhirat?”“Ya, begitulah tuan. Orang yang ingat mati, akan melaksanakan amanah dan tanggung jawabnya dengan baik dalam famili, organisasi dan masyarakat.”
“Saya takut orang yang ingat mati asyik solat sahaja!”“Asyik solat? Apa salahnya dengan solat?”“Kalau asyik solat sahaja mana sempat buat kerja?”Saya macam nak tergelak. Macamlah ramai sangat orang yang solat sampai tak sempat buat kerja. Realitinya, ramai yang bekerja sampai tak sempat solat. Dan lebih ramai orang yang tak sempat buat kedua-dua. Solat tidak, kerja pun tidak. Lalai, leka dan terbuai dengan hiburan semata-mata. Ramai yang curi masa di pejabat kerana leka dengan kerja-kerja luar, buat “direct selling”, “game”, “chatting”, “face book” dan segala macam.
“Saya rasa orang yang solatlah yang paling jujur dan amanah dalam kerja.”“Mana boleh macam tu…”“Ini Al Quran kata. Solat itu mencegah dari fahsya’ dan mungkar. Termasuklah mungkar dalam pekerjaan seperti culas, membazir, rasuah, curi tulang dan lain-lain.”“Saya pernah jumpa orang yang banyak solat tapi rasuah, curi tulang…”“Tentu ada salah di mana-mana dengan solatnya. Kalau solat tak mencegah kemungkaran, solat itu bukan solat. Ini hadis.”“Maksud awak?”“Mungkin solat kerana riyak. Mungkin jahil dengan ilmu solat. Atau tidak mujahadah hingga solatnya dikategorikan sebagai solat orang yang lalai. Khusyuk jauh sekali!”“Jalan penyelesaian?”“Perlu diberi ilmu, dididik dan dilatih dengan program solat yang sebenar!”“Ke situ balik… saya bercakap tentang produktiviti dan kualiti kerja, awak bercakap dengan kualiti solat… Pelik!”
Saya tersenyum. Inilah realiti kefahaman majoriti umat Islam. Amalan Islam dilihat secara terpisah-pisah. Padahal semua amalan Islam itu bersepadu. Yang satu mempengaruhi yang lain. Solat ada impaknya kepada pekerjaan. Membetulkan solat boleh membetulkan pekerjaan. Soal ketepatan waktu, pengurusan masa, amanah, fokus, kebersihan, keikhlasan yang menjadi teras dalam solat seharusnya melimpah kesannya bila kita bekerja.“Kalau begitu kita perlukan program latihan yang menyentuh soal mati ke, solat ke atau produktiviti? Saya makin keliru sekarang…” kata pegawai tinggi tersebut.“Ketiga-tiganya sekali. Kita perlu program latihan yang bersepadu. Hingga dengan itu pekerja yang ingat mati akan serius dengan solat dan seterus akan meningkatkan produktiviti dan kualiti pekerjaannya!” jawab saya.
Dia tersentak. Saya semakin yakin, sebelum orang bawahannya menjalani program latihan yang dibincangkan itu… dialah orang yang perlu menjalaninya terlebih dahulu. Ketua yang keliru, akan mengelirukan anak buahnya!
No comments:
Post a Comment